Thursday, April 12, 2012

Majlis Anugerah Kecemerlangan Mutiara PDCA 2011 dan Pelancaran Mutiara PDCA 2012



Cetak

Dewan Besar Sungai Dua, 25 Februari 2012
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan kerjasama Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPB), Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang dan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP) telah melaksanakan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang MPDCA tahun 2011 dan Majlis Pelancaran MPDCA tahun 2012.
Majlis telah berlangsung pada hari Sabtu, 25 Februari 2012 bertempat di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth. YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyempurnakan acara penyampaian anugerah sekolah cemerlang tahun 2011 dan melancarkan Program Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (MPDCA) tahun 2012.
Majlis ini dihadiri oleh 230 orang guru besar dan pengetua sekolah-sekolah di bawah MPDCA 2012. Majlis bertujuan untuk mengiktiraf kejayaan sekolah dari segi akademik dan perjalanan kelas tuisyen cemerlang MPDCA. Majlis juga bertujuan menjalinkan hubungan yang lebih baik antara pentadbir sekolah dengan pentadbir MPDCA.
Pelbagai anugerah diberikan iaitu Anugerah Prestij Gemilang Mutiara PDCA kepada SK Bertam Indah, Anugerah Citra Emas Mutiara PDCA kepada SK Assumption dan Anugerah Citra Kejora Mutiara PDCA kepada SK Mak Mandin. Sekolah-sekolah ini menerima piala pusingan, piala iringan, ‘mock cheque’ bernilai RM 7,000 dan sijil penghargaan. Anugerah lain ialah Anugerah Sinar Mutiara PDCA kepada SK Pulau Aman yang mendapat piala, sijil penghargaan dan ‘mock cheque’ bernilai RM 3,500.
Bagi anugerah di peringkat agensi, agensi PERDA telah mengiktiraf SK Lahar Yooi dan SMK Datuk Haji Ahmad Said sebagai sekolah cemerlang dalam pengendalian aktiviti Mutiara PDCA 2011. Manakala anugerah agensi BPPB pula memilih SK Kampung Selamat dan SMK Sungai Ara; dan agensi PUZ memilih SK Batu Maung dan Madrasah Al-Aminiah untuk menerima Anugerah Khas Agensi. Sekolah-sekolah tersebut menerima ‘mock cheque’ bernilai RM 2,500, piala dan sijil penghargaan.
Acara bermula dengan kehadiran tetamu jemputan pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 4.45 petang.

No comments:

Post a Comment