Tuesday, November 9, 2010

Keberkatan Surah Yaasin


RASULULLAH s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Bacalah surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan", iaitu:
  1. Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh menjadi kenyang.
  2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
  3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
  4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
  5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
  6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
  7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya..
  8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.
  9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
  10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.
  11. Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yassin. Sesiapa membaca surah Yassin,nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.
  12. Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yassin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya".
  13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yaasin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.
  14. Rasulullah s.a.w bersabda selanjutnya: "Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka. Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.

Untuk renungan semua,


Siapakah orang yang sibuk ?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s
Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk - numpukkan harta.
Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.
Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.
Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Khutbah Terakhir Rasulullah


NABI MUHAMMAD SAW:


"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu . Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu . Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu .

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh .

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabk an atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku .

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru . Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku .

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya .

Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu."


Sumber: Khutbah Terakhir [Wajib Baca!] | MalaysiaSensasi.Net

Monday, November 1, 2010

TERBARU - LAMAN WEB RASMI SK BERTAM INDAH

SALAM UNTUK SEMUA
Laman Web SK Bertam Indah masih dalam pembikinan. Jika anda ingin melayarinya sila ke alamat berikut : http://skbi.webs.com/ atau www.skbi.webs.com
Segala maklumat terkini akan dimuatkan dalam Laman Web ini. Laman web ini dijangka siap sepenuhnya sebelum tahun 2011.
Terima kasih kepada semua pengunjung blog Sk Bertam Indah.



Friday, October 22, 2010

Majlis Graduasi Tahun 6

Perhatian Kepada Semua Alumni SK Bertam Indah (Bekas Murid SK Bertam Indah) anda dialu-alukan untuk menghadiri Majlis Graduasi Tahun 6 2010 yang bakal diadakan pada 20 November 2010.Bayaran dikenakan ialah sebanyak RM25.00 setiap seorang.

KETERANGAN LEBIH LANJUT SILA HUBUNGI 017-4346751
(Cikgu Umi Kalsum Bt Ismail)



Wednesday, September 29, 2010

Program Cyclethon 2010

Butiran kayuhan :
- Terbuka kepada “road bike ” dan mountain bike“. Keseluruhan kayuhan menggunakanjalan bertar.
- Kayuhan adalah bertujuan untuk kutipan tabung PIBG SK Bertam Indah dan bercorak“funride” sepenuhnya disamping menggalakkan aktiviti berbasikal untuk kesihatan.
- Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran penyertaan RM30.00. Semua peserta yangberdaftar akan mendapat sehelai T-shirt, makan tengahari dan peluang memenangicabutan bertuah.

Anjuran:
Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bertam Indah
13200 Kepala Batas, Seberang Perai

Acara:
- Kayuhan pelajar-pelajar SK Bertam Indah diiringi motosikal berkuasa tinggi (10 km)
- Kayuhan peserta “Happy Ride With Teachers”(30 km +/-)
- Cabutan Bertuah

Date: 16th October 2010, Saturday
Starting Time: 7.30am
Venue: Kepala Batas, Seberang Perai
Registration Fees: RM30
Distance: Student - 10km, Adult - 30km
Untuk pertanyaan sila hubungi :
Cikgu Hawa binti Mat Yazid - 0134386378 /SM Yaakob - 0194118908

For more info and download form , refer to Official Website

Tuesday, September 28, 2010

Hari Ko-Kurikulum 2010

INFO TERKINI

HARI KO-KURIKULUM 2010 SK BERTAM INDAH AKAN DIADAKAN PADA 9 OKTOBER DI PERKARANGAN SK BERTAM INDAH.
SEMUA WARGA KEPALA BATAS DIJEMPUT HADIR UNTUK MEMERIAHKAN KARNIVAL INI.

ACARA-ACARA MENARIK YANG BAKAL BERLANGSUNG
- PERTANDINGAN SUKAN
- JUALAN GERAI
- PAMERAN
- CELCOM
- FLYING FOX
- MENCERAP BINTANG
- MENCERAP MATAHARI
- DLL

Sunday, September 12, 2010

Selamat Hari Raya

Blogmaster mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pengunjung Blog Rasmi SK Bertam Indah. MAAF ZAHIR BATIN jika ada sebarang kesalahan ataupun sebarang tulisan yang mengguris hati anda semua.


Thursday, August 26, 2010

Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan 2010

Gaya Guru Besar setelah merasmikan sambutan hari ulangtahun kemerdekaan
pandangan dari atas kibaran Jalur Gemilang
pandangan dari udara..

kibaran Jalur Gemilang mewarnai SKBI

nasib la...sapa dekat dengan phone blogmaster ada la gambar...

aksi guru paling hensem dan paling garang.....

Kepala Batas : Ogos 2010

Sambutan hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia peringkat SK Bertam Indah telah berlangsung pada 24 Ogos 2010. Perasmiannya telah dilaksanakan oleh Guru Besar SK Bertam Indah Pn. Halimatun Saadiah Bt Said di Dataran Perhimpunan dengan penuh kesederhanaan. Warga SK Bertam Indah telah menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan penuh semangat dan bersyukur atas pengorbanan pejuang-pejuang kemedekaan yang membebaskan daripada belenggu penjajahan sama ada yang dicatat dalam buku sejarah atapun tidak.

Sunday, August 15, 2010

TAZKIRAH RAMADHAN

Ingat 5 Perkara Sebelum 5 Perkara
1. Sihat sebelum sakit
2. Muda sebelum tua
3. Kaya sebelum miskin
4. Lapang sebelum sempit
5. Hidup sebelum mati

Semoga beroleh manfaat....blogmaster

Monday, August 9, 2010

Analisis Percubaan UPSR 2010

KLIK SEKALI PADA GAMBAR UNTUK BESARKAN

Sunday, August 8, 2010

Hari-Hari Yang Diharamkan Berpuasa



Apakah hari-hari yang diharamkan berpuasa dan kenapa?

Jawapan :
Hari-hari yang diharamkan berpuasa adalah:
  1. Hari Syak iaitu hari yang apabila ia ragu tarikh sebenar Ramadhan (30 Sya'ban). Ini berdasarkan hadith dari Ammar bin Yasir r.a yang bermaksud :
    " Sesiapa berpuasa pada hari syak, sesungguhnya dia telah menderhaka Abu Al-Kasim (Muhammad) s.a.w."
  2. Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha iaitu 1 Syawal dan 10 Zulhijjah. Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud :
    " Bahawa Rasullullah s.a.w menegah berpuasa pada dua hari iaitu hari raya fitri dan hari raya adha "
  3. Hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ini berdasarkan hadith daripada Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :
    " Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan dan minum juga hari mengingati Allah s.w.t "
  4. Hari Haid dan Nifas.
  5. Ulama' Mazhab Syafii berpendapat adalah haram berpuasa pada separuh akhir bulan Sya'ban yang mana ada di antaranya hari Syak melainkan mereka yang biasa berpuasa sepanjang tahun atau bagi mereka yang berpuasa pada hari tertentu seperti hari Isnin dan Khamis yang puasanya berkebetulan dengan hari selepas 15 Sya'ban atau puasa nazar yang tertanggung ke atasnya atau puasa qada' atau fardhu ataupun puasa yang bersambung dengan puasa selepas Sya'ban dan puasa sebelumnya walaupun satu hari sebelum 15 hari Sya'ban kerana berdasarkan hadith yang bermaksud :

    " Apabila telah tiba pertengahan bulan Sya'ban, janganlah kamu berpuasa " (Riwayat Ahmad)

    Mazhab Hanbali dan mazhab-mazhab lain tidak berpegang kepada hadith ini kerana ia da'if menurut pendapat Imam Ahmad.

    Sumber : Fiqh Islami wa Adilatuh - Dr. Wahbah Zuhaili
  6. Puasa bagi orang yang bimbangkan dirinya binasa kerana puasa tersebut.

Thursday, August 5, 2010

TIGA TAHAP BERPUASA


IBADAT puasa Ramadan adalah fardu ain bagi setiap Muslim dan Muslimah. Kefarduan ini ditetapkan dalam al-Quran, sunnah dan kesepakatan ulama. "Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu." (al-Baqarah:83)

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Didirikan Islam atas lima perkara - antaranya puasa Ramadan." (Riwayat Bukhari) Berpuasa perlu dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan diterangkan ulama supaya ibadat berkenaan membawa keredaan, keberkatan dan pahala berganda. Tetapi hari ini kita menemui ada golongan yang berpuasa dengan gaya tersendiri seperti puasa di depan khalayak, berbuka bila berseorangan, manakala ada juga berpuasa perut, tetapi anggota lain tidak.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin menyebut, puasa ada tiga kedudukan iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus. Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.

Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya.

Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain daripada Allah dan hari akhirat. Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk bekalan akhirat dan bukan urusan dunia.

Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata, sesiapa yang pada siang Ramadan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, ditulis satu kesalahan kerana ia lahir daripada sikap kurang percaya pada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezeki yang dijanjikan.

Tahap puasa seperti ini ialah tahap Nabi, As-Siddiqin dan Al-Muqarrabin. Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan, tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Menurut Imam al-Ghazali, bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh, perlu menyempurnakan enam perkara iaitu:
.a. Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci oleh syariat serta daripada segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati daripada mengingati Allah.
.b. Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.
.c. Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram dituturkan, haram juga didengar. Justeru, Allah menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya bermaksud: "Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram." (al-Maidah:42)
.d. Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka. Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada makanan halal, tetapi berbuka dengan makanan haram.
.e. Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan terbabit. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan halal. Bagaimana boleh seseorang itu mematahkan keinginan syahwatnya dan menewaskan musuhnya sedangkan apabila berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika berpuasa.
.f. Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan kepada Allah kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang celaka.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Monday, August 2, 2010

TIPS : MUDAH MENGINGATI ILMU

TIPS : MUDAH MENGINGATI ILMU

Ustaz, kenapa susah nak ingat bila menghafal ?

Saya dah hafal la ustaz, tapi lupa!.

Ucapan begini biasa dijawab oleh pelajar bila disoal makna sesuatu perkataan Bahasa Arab. Tips kali ini akan diterangkan teknik-teknik untuk mengingati sesuatu hafalan. Tips ini umum untuk semua subjek yang memerlukan pelajar mengingati sesuatu ilmu. Bukan terhad subjek Bahasa Arab sahaja.

Allah mengurniakan tahap kecerdasan akal fikiran yang berbeza-beza kepada manusia. Ada yang kuat ingatan, ada yang sederhana dan ada yang lemah. Pelajar yang bijak dan kuat ingatan memadai dengan hanya P&P dalam kelas telah menguasai sesuatu ilmu dengan baik. Itu adalah kurniaan Allah kepadanya dan amat jarang yang mendapat kelebihan seperti ini pada masa kini. Kebiasaannya pelajar memerlukan kepada ulangkaji yang berulang kali baru dapat menguasainya.

Kebanyakan pelajar biasanya berdepan dengan masalah sukar untuk mengingati ilmu yang dipelajari. Perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk mengatasi masalah ini ialah ;

PERTAMA : Menghindarkan diri daripada sebarang dosa. Dosa yang dilakukan mengakibatkan hati menjadi hitam. Inilah hijab yang menghalang untuk mendapat ilmu. Seorang pelajar hendaklah sentiasa menghindarkan diri daripada sebarang dosa agar ilmu mudah diperolehi. Terdapat pelajar yang boleh mengingati isi kandungan yang diajar oleh gurunya walau pun tidak mengulang kaji pada waktu lain. Kenapa ?. kerana hatinya suci bersih dan berkat.

KEDUA : Tingkatkan amalan kerohanian dan amal soleh untuk membersihkan hati dan untuk memperolehi keberkatan daripada Allah SWT. Sentiasa menjaga solat fardu, menunaikan solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran setiap hari dengan perhatikan makna-maknanya. Amalan-amalan soleh ini akan mencapai keberkatan daripada Allah SWT dalam menuntut ilmu.

KETIGA : Menghafal dalam keadaan fizikal yang sejahtera dan segar, minda yang lapang dan rehat. Mengingati sesuatu merupakan proses yang berat ditanggung oleh akal. Ia memerlukan tenaga yang sempurna daripada tubuh badan yang cergas. Proses mengingati ilmu akan menjadi sukar bila fizikal dalam keadaan letih seperti mata yang mengantuk dan sebagainya. Sekiranya anda dalam keadaan begini dinasihatkan melakukan perkara yang lebih ringan seperti menyalin nota atau membuat latihan-latihan mudah. Kalau menghafal pun hanya akan membuang masa. Dapatkan rehat yang secukupnya untuk mengembalikan kecergasan. Rehat yang terbaik ialah tidur yang mencukupi dan waktu minda yang lapang ialah selepas bangkit dari tidur. Sebab itu kita dapati ramai pelajar yang cemerlang memanfaatkan masa pada awal pagi untuk mengulang kaji dan menghafal pelajaran.

KEEMPAT : Memberi tumpuan sepenuhnya semasa menghafal. Terdapat pelajar yang menghafal sambil mendengar muzik, menonton tv, menghantar sms dan lain-lain lagi. Kalau begini caranya menghafal sampai dua jam pun, dijamin gagal mengingatinya dengan sempurna. Kita hendaklah benar- benar fokus perkara yang ingin diingati tanpa memikirkan perkara lain. Allah jadikan akal manusia tidak dapat fokus terhadap dua perkara dalam satu masa. Ini adalah fitrah kejadian manusia. Walau pun tidak dinafikan terdapat pelajar yang dapat mengulang kaji pelajaran sambil mendengar muzik dan sebagainya. Ulangkaji dan menghafal adalah dua perkara yang berbeza.

KELIMA : lafazkan hafalan anda sehingga didengari oleh telinga anda sendiri. Bila mulut yang menyebut, telinga yang mendengar dan mata yang memandang akan memudahkan akal menerima hafalan tersebut berbanding menghafal tanpa bersuara. Kenapa anda dapat mengingati lagu Inggeris dan Hidustan?. Jawapannya ialah kerana biasa mendengar berulang kali. Inilah kehebatan nikmat mendengar yang merupakan salah satu sumber ilmu.

KEENAM : Ulangi hafalan anda sehingga benar-benar mantap. Tiada had berapa kali yang perlu diulang. Selagi hafalan masih samar dan kabur, ulangi berulang kali. Jangan rasa jemu dan mudah berputus asa. Lebih memudahkan untuk mengingati bila difahami kandungan yang dihafal. Contohnya kita mampu mengingati ayat al-Quran yang dihafal tapi lebih mudah kita mengingatinya dengan difahami makna ayat-ayat tersebut.

KETUJUH : Tulis perkara yang anda hafal tanpa melihat teks. Perkara ini penting untuk memastikan ingatan anda benar-benar mantap atau sebaliknya. Ia juga baik untuk mengelakkan berlaku kesilapan bila menjawab soalan yang sebenar. Semak hafalan yang ditulis tadi dengan teks sebenar. sekiranya terdapat kesilapan, ulangi menghafal sekali lagi sehingga benar-benar diingati .

KELAPAN : Istiqamah dalam menghafal. Untuk mengingati ilmu adalah mustahil hanya dengan sekali hafalan. Hafalan secara berkala dan sistematik perlu dipraktikkan setiap masa. Hafalan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu hafalan baru dan hafalan lama. Ilmu yang telah diingati jangan dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu di‘refresh’ secara berkala bergantung kepada sejauh mana kemantapan sesuatu hafalan. Jangan sia-siakan masa yang telah dihabiskan untuk mengingatinya, kemudian dibiarkan lupa begitu sahaja. Kesimpulannya, hendaklah disediakan jadual pembelajaran untuk membahagikan masa antara hafalan baru dan ‘refresh’ hafalan lama.

KESEMBILAN : Semak hafalan anda dengan rakan yang lain. Amalan ini amat praktikal untuk memantapkan sesuatu hafalan berbanding menghafal bersendirian. Bagi mata pelajaran Bahasa Arab, memperdengarkan dan mendengar soalan dari pihak lain amat mustahak untuk melatih pelajar menguasai kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Dengan ini pelajar dapat membiasakan diri bertutur dengan Bahasa Arab dengan lancar dan fasih. Sekurang-kurangnya pelajar tidaklah kekok dan pelik bila menghadapi ujian syafawi ( lisan) kelak.

KESEPULUH : Tampal nota atau bahan yang penting di tempat yang biasa dan kerap dilihat. Ini bertujuan memantapkan hafalan yang penting seperti formula sains atau matematik. Bila diyakini mantap, gantikan dengan nota yang lain. Buangkan gambar-gambar artis kesayangan atau poster yang tidak berfaedah. Hiasi bilik ‘study’ anda dengan perkataan, formula dan ilmu yang bermanfaat.

KESEBELAS : Tips yang terakhir ialah doa dan tawakkal. Pastikan setiap usaha yang anda lakukan seiring dengan pergantungan dan penyerahan diri kepada Allah Yang Maha Pengurnia. Dialah yang menguatkan ingatan, Dialah yang Melupakan. Semuanya dalam KekuasaanNya. Oleh itu, setiap kali sama ada sebelum atau selepas menghafal panjatkan doa kepadaNya tanpa rasa jemu. Yakinlah bahawa doa anda itu akan diterima dan sentisa berbaik sangka dengan Allah. Sekurang-kurangnya anda akan mendapat pahala kerana doa itu adalah satu ibadat. Tidak akan rugi dan menyesal seseorang yang banyak berdoa di akhirat kelak.

Mudah-mudahan sebelas tips yang dinyatakan ini dapat dijadikan panduan dan semoga membantu anda mengingati ilmu yang dipelajari walau pun teknik dan pendekatan belajar berbeza-beza di kalangan pelajar.

WALLAHU TA’ALA A’LAM

Artikel dari : http://pbasmkps.blogspot.com/

Wednesday, July 28, 2010

Wanita Ciptaan Istimewa




1. Kecantikan seorang wanita ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan(menjaga) malunya, sementara kegagahan seorang lelaki ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan (menjaga) marahnya.


2. Orang yang membujang adalah orang yang belum menemukan penghibur duka dan dia baru memperolehinya dengan berkahwin.


3. Suami adalah orang yang mencari kebahagiaan hidup dengan menghilangkan sebahagian kemerdekaannya.


4. Wanita menghadapi banyak permasalahan; sebahagian diatasi dengan berkahwin dan sebahagian yang lain diatasi setelah dia masuk ke liang kubur.


5. Mata yang paling indah tetapi juga harus diwaspadai adalah mata kaum wanita.


6. Jangan menyalahkan perasaan isteri anda kerana perasaannya yang terbaik ialah ketika ia menerima anda sebagai suami.


7. Perawan tua ialah wanita yang kehilangan kesempatan menyusahkan seorang lelaki.


8. Yang diinginkan seorang gadis dari dunia ini hanyalah seorang suami, dan apabila ia sudah memperolehinya, ia menginginkan segala- galanya.


9. Wanita bisa memaafkan suatu pengkhianatan suaminya, tetapi dia tidak bisa melupakannya.


10. Kecantikan wanita tidak bererti apa-apa dibandingkan dengan kemuliaan akhlak dan perilakunya.


11. Sebelum kahwin, wanita hafal seluruh jawaban dan sesudah kahwin, ia hafal seluruh pertanyaan.


12. Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya, maka dia telah menjual kemerdekaannya.


13. Wanita adalah bintang dan pelita bagi lelaki. Tanpa pelita, lelaki bermalam dalam kegelapan.


14. Wanita lebih cepat daripada lelaki dalam menangis dan dalam mengingatkan peristiwa yang menyebabkan dia menangis.


15. Wanita tertawa bila ia mampu dan menangis apabila ia menginginkan sesuatu..


16. Pudarlah kebahagiaan seorang wanita jika ia tidak mampu menjadikan suaminya teman yang termulia.


17. Wanita sangat berlebihan dalam mencintai dan membenci, dan tidak mengenal pertengahannya.


18. Wanita selalu tergolong manusia halus dan lembut sampai saat dia berkahwin.


19. Tidak mungkin seorang lelaki hidup bahagia tanpa didampingi oleh isteri yang mulia.


20. Wanita hidup untuk berbahagia dengan cinta, sementara lelaki mencintai untuk hidup berbahagia.


21. Kebijaksanaan wanita terletak di dalam hatinya.


22. Seorang wanita yang bijaksana menambahkan gula pada kalimatnya setiap kali berbicara dengan suaminya, dan mengurangi garam pada ucapan suaminya.


23. Cincin perkahwinan adalah cincin termahal di dunia, sebab mengharuskan pemberinya mengingatkan harganya setiap bulan tanpa henti.


24. Sesungguhnya tidak ada wanita yang sangat cantik, yang ada ialah kaum lelaki yang sangat lemah bila berhadapan dengan kecantikan.


25. Bagi lelaki, yang terakhir kali mati ialah jantungnya dan bagi wanita adalah lidahnya.


26. Wanita tidak diciptakan untuk dikagumi semua lelaki tetapi sebagai sumber kebahagiaan seorang suami.


27. Pada waktu bertunang, lelaki banyak berbicara dan perempuan mendengarkan. Pada saat perkahwinan, perempuan berbicara dan pengantin lelaki mendengarkan. Sesudah perkahwinan, suami dan isteri banyak berbicara dan para jiran tetangga mendengarkan.


28. Setiap wanita mempunyai dua mata. Adapun wanita yang cemburu berlebihan mempunyai tiga mata. Satu di sebelah kanan, satu di sebelah kiri dan yang ketiga diarahkan kepada suami.


29. Wanita pada umumnya takut akan tiga hal : tikus, munculnya uban dan wanita-wanita cantik yang menjadi saingannya.


30. Isteri yang bersikap jujur dan setia kepada suami meringankan setengah beban kehidupan suaminya.


31. Seorang wanita menghadapi kesulitan apabila ia berada di antara lelaki yang dicintainya dan yang mencintainya.

7 Kemungkinan Jika Anda Terlalu Bakhil




Petikan dari kata-kata Saidina Abu Bakar ra yang bermaksud, orang-orang yang terlalu bakhil tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan ini :

1. Allah swt memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.

2. Allah swt akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran,kecurian, banjir dan sebagainya.

3. Setelah dia meninggal kelak, hartanya akan diwarisi oleh mereka yang mempergunakannya pada jalan maksiat dan kemungkaran.

4. Allah swt akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga dia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakitnya.

5. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat lalu dia sendiri terlupa sehingga dia tidak boleh menemuinya lagi.

6. Terlintas di dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak yang mengakibatkan hartanya sendiri musnah.

7. Allah swt meninggikan syahwatnya sehingga dia sendiri akan memusnahkan hartanya.

25 Pesanan Luqman Hakim


01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yg dalam, banyak manusia yg karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yg bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 - orang - orang yg sentiasa menyediakan dirinya utk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yg insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

03 - Hai anakku; orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kpd ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dr sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yg tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dr tempatnya semula itu lebih mudah drpd memberi pengertian kpd orang yg tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengankat batu besar dan besi yg amat berat, tetapi akan lebih lagi drpd semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yg jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yg bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yg berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - janganlah engkau makan sampai kenyang yg berlebihan, kerana sesungguhnya makan yg terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kpd anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yg takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 - selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yg pernah memberikan barang yg berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanyasebagai orang yg tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yg mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yg tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yg akan mendatangkan cela pd dirimu.

20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kpd urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yg busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yg menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yg pasti, janganlah engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yg penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yg pendiam akan selamat daripada berkata yg mengandungi racun, dan sesiapa yg tidak dapat menahan lidahnya dr berkata kotor tentu akan menyesal.

24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yg alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yg subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yg engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yg bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Sunday, July 25, 2010

Keputusan Rasmi Kejohanan Badminton MSSPP 12TKB Zon Kepala Batas 2010


Pemain dari SK Lahar Kepar

Penyelaras Zon Kepala Batas En. Malik Abd. Aziz dan Pegawai PPDU

Johan kategori perempuan SJKC Mah Hua


Johan kategori perempuan SJKC Mah Hua

Penyokong-penyokong SK Bertam Indah

Jurulatih SK Bertam Indah En.Sabri Hanif dan Blogmaster

Pemain beregu SJKC Lee Chee


Penyokong setia SK Bertam Indah

22 Julai 2010 - Bertam
SJKC Mah Hua sekali lagi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton MSSPP Zon Kepala Batas 2010 untuk kategori lelaki dan perempuan.Dalam kategori lelaki SJKC Mah Hua menewaskan SJKC Lee dengan 3-0 manakala untuk kategori perempuan SJKC Mah Hua mengalahkan SK Lahar Kepar juga dengan 3-0.
Kejohanan ini diserikan dengan kehadiran Pegawai Pelajaran Daerah Utara En. Adnan Bin Idris yang merasmikan penutupan kejohanan dan juga menyampaikan hadiah.SK Bertam indah yang bertindak sebagai pengelola kejohanan kali ini menganjurkan kejohanan dengan begitu baik sekali.
SK Bertam Indah mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan ini sama ada secara langsung atapun tak langsung terutama kepada Penyelaras Teknik Zon Kepala Batas En. Malik Bin Abdul Aziz daripada SMK Penanti yang banyak membantu menjayakan kejohanan ini.
Berikut ialah keputusan penuh:

Kategori Lelaki 12TKB
Johan - SJKC Mah Hua
Naib Johan - SJKC Lee Chee
Ketiga - SK Padang Menora DAN SK Pokok Sena

Kategori perempuan 12TKB
Johan - SJKC Mah Hua
Naib Johan - SK Lahar Kepar
Ketiga - SJKC Pei Yu DAN SK Pulau Mertajam