Wednesday, January 2, 2013

Dasar 1 Murid 1 Sukan



Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.
Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia.


Dasar 1 M 1 S berhasrat untuk:

1. Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.
2. Memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Dasar 1 M1 S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif berikut:
1. Meningkatkan kecergasan jasmani.
2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni.
3. Memupuk perpaduan di antara kaum.
4. Membentuk budaya sukan di kalangan murid.
5. Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal.
6. Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal.
7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Konsep Dasar 1 M 1S diwujudkan untuk menyokong FPK agar dapat:
 

1. Memberi akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif.
2. Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.
3. Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

Pelaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut:


1. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.
2. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah;.
3. Asas kepada 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berkualiti di sekolah. Segala sumber untuk mata pelajaran pendidikan jasmani hendaklah diguna sama bagi 1M 1S.
4. Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti su kan.
5. Penyertaan dalam sukan adalah asas kepada perkembangan Intelek Rohani, Jasmani, dan Emosi murid.
6. Ibu bapa dan agensi luar rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah.
7. Setiap sekolah yang sudah pun mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.


Bagi memenuhi prinsip-prinsip pelaksanaan 1M 1S, setiap sekolah mempunyai pendekatan dalam melaksanakan program sukan mengikut acuan dan kemampuan sedia ada. Dengan itu, pelaksanaan 1M 1 S adalah berdasarkan kepada pendekatan berikut:
1. Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri dan mengambil bahagian secara aktif dalam latihan sukan dan permainan di bawah pengurusan sekolah. Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.
2. Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan tahunan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.
3. Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah, dorm asrama, kelab sukan sekolah.
Penyertaan murid dalam kejohanan MSSD/MSSN/MSSM serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1M1S.

Penilaian murid adalah berdasarkan kepada sistem penilaian sedia ada yang berasaskan:
1. Kehadiran;
2. Jawatan Serta Sumbangan;
3. Penglibatan; dan
4. Pencapaian.

Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan berkuatkuasa untuk murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 1 mulai tahun 2012.
‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’

Projek 1BestariNet



PELAKSANAAN PROJEK 1BESTARINET DAN SURAT SIARAN KEBENARAN SEKOLAH MEMASANG INTERNET

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memulakan projek perkhidmatan 1BestariNet di semua sekolah seluruh Malaysia pada bulan Disember 2011. Projek ini merupakan perkhidmatan rangkaian Internet "end to end" bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran bagi semua sekolah. Ia akan dilaksanakan selama 2 tahun 6 bulan oleh pembekal perkhidmatan yang dilantik oleh KPM.

Sila muat turun untuk maklumat lanjut :

SK Bertam Indah Diumumkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi

PUTRAJAYA 27 Dis. 

Kementerian Pelajaran mengiktiraf 25 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 13 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah di bawah kohort ketiga tahun ini.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 91 buah.Katanya, pengiktirafan itu sekali gus mencapai sasaran untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah SBT di setiap negeri dalam tempoh Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 yang berakhir pada hujung tahun ini. "Melalui anugerah ini peruntukan khas yang akan diberikan kepada 25 SBT terbaru ini berjumlah kira-kira RM18.7 juta."Jumlah itu khusus untuk membantu bagi mengangkat kualiti pendidikan murid-murid negara ini ke satu tahap setanding dengan standard antarabangsa," katanya.Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort Tiga 2012 di sini hari ini.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Rosli Mohamed. Menurut Muhyiddin, dengan pengiktirafan itu diharapkan kesemua SBT mampu menghasilkan murid cemerlang yang merupakan pewaris negara di masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kecemerlangan 66 SBT sebelum ini, kerajaan bersetuju melanjutkan pelaksanaan SBT dalam tempoh GTP 2.0 bagi 2013 hingga 2015 dengan sasaran sebanyak 10 SBT setahun."Ini bermakna jika terdapat sekolah-sekolah yang layak dan memenuhi kriteria pemilihan, jumlah SBT boleh menjangkau sekurang-kurangnya 130 SBT menjelang 2015," katanya.

Sebanyak 13 buah Sekolah Kebangsaan (SK) terbabit ialah SK Tengku Ampuan Intan, Terengganu; SK Zainab 1, Kelantan; SK Bertam Indah, Pulau Pinang; SK Sultanah Asma, Kedah; SK Convent Infant Jesus 2, Melaka; SK Bandar Penawar 2, Johor, SK Sri Gaya, Sabah, SK (P) Methodist 2, Melaka; SK Bandar Maharani, Johor; Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera, Perlis; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, Perak; SJKC Yok Bin, Melaka dan SJKC Union, Pulau Pinang.

Enam buah merupakan Sekolah Menengah Sains (SMS) iaitu SMS Sultan Mahmud, Terengganu; SMS Kepala Batas, Pulau Pinang; SMS Pokok Sena, Kedah; SMS Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang; SMS Hulu Selangor, SMS Labuan dan Kolej Sains Pendidikan Islam Kuala Terengganu, Terengganu.
Bakinya ialah tiga Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dan dua Sekolah Menengah Kebangsaan iaitu SBPI Batu Rakit, Terengganu; SBPI Selandar, Melaka; SBPI Kuantan, Pahang dan SMK Sultan Ismail, Johor serta SMK Infant Jesus Convent, Johor.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121228/dn_04/25-lagi-sekolah-diiktiraf-Sekolah-Berprestasi-Tinggi#ixzz2GpVWqpAK
© Utusan Melayu (M) Bhd