Wednesday, January 2, 2013

SK Bertam Indah Diumumkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi

PUTRAJAYA 27 Dis. 

Kementerian Pelajaran mengiktiraf 25 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 13 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah di bawah kohort ketiga tahun ini.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 91 buah.Katanya, pengiktirafan itu sekali gus mencapai sasaran untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah SBT di setiap negeri dalam tempoh Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 yang berakhir pada hujung tahun ini. "Melalui anugerah ini peruntukan khas yang akan diberikan kepada 25 SBT terbaru ini berjumlah kira-kira RM18.7 juta."Jumlah itu khusus untuk membantu bagi mengangkat kualiti pendidikan murid-murid negara ini ke satu tahap setanding dengan standard antarabangsa," katanya.Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort Tiga 2012 di sini hari ini.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Rosli Mohamed. Menurut Muhyiddin, dengan pengiktirafan itu diharapkan kesemua SBT mampu menghasilkan murid cemerlang yang merupakan pewaris negara di masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kecemerlangan 66 SBT sebelum ini, kerajaan bersetuju melanjutkan pelaksanaan SBT dalam tempoh GTP 2.0 bagi 2013 hingga 2015 dengan sasaran sebanyak 10 SBT setahun."Ini bermakna jika terdapat sekolah-sekolah yang layak dan memenuhi kriteria pemilihan, jumlah SBT boleh menjangkau sekurang-kurangnya 130 SBT menjelang 2015," katanya.

Sebanyak 13 buah Sekolah Kebangsaan (SK) terbabit ialah SK Tengku Ampuan Intan, Terengganu; SK Zainab 1, Kelantan; SK Bertam Indah, Pulau Pinang; SK Sultanah Asma, Kedah; SK Convent Infant Jesus 2, Melaka; SK Bandar Penawar 2, Johor, SK Sri Gaya, Sabah, SK (P) Methodist 2, Melaka; SK Bandar Maharani, Johor; Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera, Perlis; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, Perak; SJKC Yok Bin, Melaka dan SJKC Union, Pulau Pinang.

Enam buah merupakan Sekolah Menengah Sains (SMS) iaitu SMS Sultan Mahmud, Terengganu; SMS Kepala Batas, Pulau Pinang; SMS Pokok Sena, Kedah; SMS Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang; SMS Hulu Selangor, SMS Labuan dan Kolej Sains Pendidikan Islam Kuala Terengganu, Terengganu.
Bakinya ialah tiga Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dan dua Sekolah Menengah Kebangsaan iaitu SBPI Batu Rakit, Terengganu; SBPI Selandar, Melaka; SBPI Kuantan, Pahang dan SMK Sultan Ismail, Johor serta SMK Infant Jesus Convent, Johor.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121228/dn_04/25-lagi-sekolah-diiktiraf-Sekolah-Berprestasi-Tinggi#ixzz2GpVWqpAK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment