Friday, November 18, 2011

Petikan BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Sabah buat julung kalinya mengadakan majlis pengumuman keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di luar ibu negerinya apabila memilih sebuah sekolah di kawasan pedalaman Semporna sebagai lokasi pengumuman.Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yusin berkata Jabatan Pelajaran Sabah memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Kabogan, Semporna sebagai lokasi pengumuman keputusan UPSR Sabah bagi memberi motivasi kepada sekolah yang terletak jauh dari ibu negeri untuk terus berusaha gigih."Dengan kita mengadakannya di SK Kabogan ini, yang keputusannya agak baik di Semporna ini, saya yakin ia akan menimbulkan kesedaran yang sukar untuk mereka lupakan. Selalunya anak-anak cemerlang yang kita panggil ialah dari kawasan Kota Kinabalu."Jadi, mengapa tidak sekali-sekala kita buat di luar Kota Kinabalu supaya pelajar cemerlang di kawasan luar bandar juga berpeluang untuk kita panggil menghadiri majlis seumpama ini," katanya kepada pemberita.Dr Muhiddin ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu berkata 1,018 calon di negeri ini mendapat keputusan semua A dan daripada jumlah itu seramai 859 calon adalah dari SK manakala 159 lagi merupakan calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK).SK terbaik di Sabah ialah SK Sri Gaya, Kota Kinabalu dengan 43 calon mendapat semua A dan SKJ Cina terbaik ialah SKJC St James, Kota Kinabalu dengan 21 calon semua A, katanya.


Di SARAWAK, sebanyak 88 buah sekolah mencatat pencapaian 100 peratus lulus dengan melibatkan 79 SK dan sembilan SKJC, kata Pengarah Pelajaran negeri Abdillah Adam.
Seramai 1,835 daripada 43,849 calon memperoleh semua A bagi semua mata pelajaran dengan 1,319 calon dari SK dan SJKC (516).
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran Abdul Halim Abdul Razak berkata pencapaian calon mendapat semua A menurun sedikit iaitu 0.8 peratus daripada 12.4 peratus tahun lepas kepada 11.6 peratus tahun ini.
Pencapaian calon cemerlang bandar mengalami peningkatan 0.2 peratus manakala calon luar bandar mengalami penurunan sebanyak 1.3 peratus, katanya pada pemberita.
Di WILAYAH PERSEKUTUAN, seramai 2,690 daripada 24,454 calon mendapat keputusan semua A dan keputusan itu menurun sedikit daripada 11.32 peratus tahun lepas kepada 11.23 peratus tahun ini. Pengarah Pelajaran Datuk Khairil Awang berkata indeks Gred Prestasi Negeri (GPN) pencapaian keseluruhan UPSR bagi Wilayah Persekutuan juga menurun daripada 2.16 tahun lepas berbanding 2.17 tahun ini.
Di PERLIS, Pengarah Pelajaran Dun Kasa berkata keputusan lulus UPSR meningkat 1.59 peratus tahun ini berbanding tahun lepas apabila 2,833 calon lulus berbanding 2,677 calon tahun lepas.Beliau berkata hanya 388 daripada 4,540 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan semua A dan dua sekolah luar bandar yang mencatat peratus pencapaian keseluruhan melebihi 90 peratus iaitu SK Titi Tok Bandar dengan 95.24 peratus dan SK Padang Keria (91.18 peratus).
Di SELANGOR, Pengarah Pelajaran Abdullah Mad Yunus berkata seramai 67,494 daripada 86,092 calon lulus dalam keputusan UPSR tahun ini, dan seramai 9,004 calon berjaya mendapat keputusan cemerlang iaitu 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pelajaran TERENGGANU Razali Daud berkata pencapaian keseluruhan UPSR negeri itu meningkat 15.6 peratus berbanding 15.4 peratus tahun lepas.Seramai 3,548 daripada 22,801 calon negeri itu memperoleh keputusan cemerlang dengan semua A, katanya.


Di PULAU PINANG, SK Bertam Indah dipilih sebagai sekolah terbaik apabila 90 pelajar daripada 211 pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang 5A, kata Pengarah Pelajaran Ahmad Tarmizi Kamaruddin.Beliau berkata negeri itu mencatatkan seramai 2,652 daripada 24,874 calon UPSR berjaya memperoleh keputusan semua A, katanya pada sidang media. Murid SK Pendidikan Khas (SRPK) Alma, Muhammad Iskandar Shah Mohd Nawi, 12 yang cacat penglihatan dipilih sebagai murid pendidikan khas terbaik setelah mendapat keputusan 4A dan 1B.


Di PAHANG, Pengarah Pelajaran Pahang Yahya Zainal Abidin berkata pencapaian calon UPSR di Pahang pada keseluruhannya kekal pada GPN iaitu 2.2."Seramai 2,967 memperoleh 5A berbanding 3,359 calon pada tahun sebelumnya," katanya sambil menambah kata bahawa empat calon Orang Asli memperoleh 5A daripada 727 calon di Pahang.
Di MELAKA, lima sekolah berjaya memperoleh keputusan 100 peratus minimum 'C' bagi semua mata pelajaran iaitu SK Convent Infant Jesus 2, SK Pegoh, SK Berisu, SKJ Cina Kemendor dan SKJ Tamil Ladang Serkam.
Pengarah Jabatan Pelajaran Mohamad Yusoff Osman berkata pencapaian calon cemerlang semua A menurun sedikit (0.4 peratus) iaitu daripada 10.4 peratus pada tahun lepas kepada 10 peratus pada tahun ini. 
Di JOHOR, Pengarah Pelajaran Mohd Nor A.Ghani berkata seramai 5,753 daripada 58,923 murid UPSR di negeri itu memperoleh A dalam semua mata pelajaran dan ia menurun 0.85 peratus daripada 10.61 peratus tahun lepas kepada 9.76 peratus tahun ini. Beliau berkata SK Bandar Uda 2 menjadi sekolah paling ramai murid cemerlang semua A seramai 83 orang, diikuti SK Kota Masai, Pasir Gudang (82 orang) dan SKJ Cina Kuo Kuang 2, Skudai (79 orang).
Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Pelajaran Hussain Awang berkata prestasi positif GPN yang diperoleh merupakan yang terbaik dalam tempoh lapan tahun iaitu 2.09 berbanding 2.22 pada tahun lalu.
Beliau berkata jumlah calon semua A turut meningkat 0.95 peratus, kepada 5,282 orang calon tahun ini berbanding 5,128 tahun lepas.Sementara seorang pelajar cacat penglihatan, Mohamad Qayyim Nizar Sarimi daripada Sekolah Kebangsaan Kampong Sireh, Kelantan, muncul pelajar terbaik kategori calon berkeperluan khas negeri Kelantan dengan keputusan 3A 2B.

No comments:

Post a Comment