KEPALA BATAS - Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Indah dipilih sekolah terbaik dengan keputusan cemerlang bagi aliran kebangsaan apabila 90 pelajarnya memperolehi 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011.
Turut mencatat keputusan cemerlang ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Perempuan Cina dengan 59 pelajarnya memperolehi semua A manakala empat [elajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Subramaniya Barathee, Bukit Mertajam mendapat 5A.
Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, seramai 2,652 daripada 24,874 calon berjaya memperolehi keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

"Secara keseluruhan pencapaian dalam menguasai tahap minimum bagi semua mata pelajaran ialah 67.23 peratus iatu seramai 16,547 pelajar mencapai sekurang-kurangnya gred C," katanya pada sidang media di SK Bertam Indah di sini pagi tadi.


UTUSAN MALAYSIA

Tidak sempat kongsi kejayaan



Nur Hazwani Rosaidi menerima slip keputusan UPSR disampaikan sendiri oleh Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin semasa jenazah bapanya masih berada di rumahnya di Taman Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. – Utusan/Sazali Che Din



KEPALA BATAS 17 Nov. – Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Indah di sini terkilan tidak sempat berkongsi kejayaan mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 dengan bapanya yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya petang semalam.
Nur Hazwani Rosaidi, 12, hanya mampu memegang slip keputusan UPSR yang disampaikan Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin di sisi jenazah bapanya, Rosaidi Awang Kechik, 41, di rumahnya di Taman Paya Keladi di sini.
Menurut Nur Hazwani, bapanya yang bertugas sebagai pegawai bank di Pulau Pinang beria-ia memohon cuti untuk menemaninya ke sekolah mengambil keputusan UPSR hari ini.
“Bapa juga bercadang membawa kami sekeluarga melancong semasa cuti sekolah ini sebagai hadiah sekiranya saya berjaya mendapat 5A.
“Memang sedih sangat apabila bapa tak sempat nak tengok keputusan ini. Saya berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh selepas ini,” kata anak ketiga daripada enam adik beradik itu.
Menurut murid itu, bapanya meninggal dunia ketika pulang dari tempat kerja kira-kira pukul 7.30 malam semalam apabila motosikal ditungganginya melanggar sebuah lori yang sedang membuat pusingan U di Butterworth.


BULETIN PERDA

Pelancaran Mutiara PDCA 2011 dan Penyampaian Anugerah Sekolah Cemerlang UPSR PDCA 2010

Print
Lokasi di Dewan Besar Sungai Dua
Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) yang telah diperkenalkan sejak 2006, sebagai satu program melonjakkan pencapaian akademik pelajar-pelajar UPSR di negeri ini, telah diberi penjenamaan semula sebagai Mutiara PDCA.
Penjenamaan semula ini telah dilancarkan oleh YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di satu majlis yang berlangsung di Dewan Besar Sungai Dua pada 29 Januari 2011 (Sabtu) yang lalu.
Dalam ucapan pelancaran, beliau menyatakan pemberian nama baru kepada program ini selaras dengan penambahbaikan dan penyelarasan yang lebih besar dengan penglibatan agensi kerajaan serta swasta dan pemimpin masyarakat.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, percaya bahawa melalui Program Mutiara PCDA ini mampu menjadi jambatan dalam mengurangkan jurang penyertaan bumiputera berbanding bukan bumiputera di dalam sosio ekonomi dan guna tenaga di masa akan datang.
Di majlis yang sama Tan Sri Nor Mohamed Yakcop diberi kesempatan untuk menyampaikan anugerah kepada sekolah-sekolah yang mencatatkan keputusan yang membanggakan di dalam UPSR tahun lalu.
Anugerah Pencapaian Peratus 5A Terbaik dan Anugerah Peningkatan 5A Terbaik telah dimenangi oleh SK Bertam Indah. SK Pulau Betong pula dianugerahi Sekolah Berpotensi Peningkatan UPSR.
Bagi Anugerah Khas Agensi, SK St. Mark, Perai dan SMK Tinggi B. Mertajam telah memenangi anugerah ini di bawah agensi penyeliaan Bahagian Penyelarasan Pelaksanaan Bumiputera Pulau Pinang. Untuk sekolah di bawah agensi PERDA, SK Mohd Shah dan SMK Kampong Selamat telah terpilih. Manakala di bawah Pusat Urus Zakat ialah SK Pauh Jaya dan SMK Al-Irshad.
Pada majlis yang sama, YB Tan Sri Nor turut melancarkan Program e-Didik, satu program pembelajaran interaktif maya yang dibangunkan oleh PERDA dengan kerjasama BPPB, PUZ dan Jabatan Pelajaran Negeri.