Monday, September 23, 2013

APA ITU SARANA IBUBAPA
(Klik untuk maklumat tambahan)

Malaysia berhasrat untuk mempunyai sistem pembelajaran yang dapat meningkatkan kejayaan murid. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa serta ahli komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat - membantu murid berjaya.

Peranan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak di rumah tidak dapat dinafikan. Kajian menunjukkan apabila ibu bapa terlibat sama, sekolah mendapat manfaat berikut:
·         Keyakinan guru meningkat
·         Pencapaian murid meningkat
·         Ibu bapa merasa mereka sebahagian dari sekolah dan lebih menyokong program sekolah
·         Kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan
·         Hubungan lebih baik antara pentadbir, guru dan ibu bapa
(Olsen & Fuller, 2008)

Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak mereka perlu ditingkatkan. Sekolah merupakan penggerak utama dalam usaha ini. Bagi membantu sekolah meningkatkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah, Sarana Sekolah disediakan. Terkandung dalam sarana ini 
a)    Sarana Penglibatan Sekolah dengan Ibu Bapa dan Komuniti
b)    Sarana Penglibatan Ibu Bapa dengan Anak
c)    Templat Prospektus Sekolah
d)   Templat Buku Komunikasi

Sarana Penglibatan Sekolah dengan Ibu Bapa dan Komuniti bertujuan memperkenalkan sekolah kepada enam (6) elemen yang akan menyokong Sistem Pembelajaran. Elemen-elemen tersebut, apabila dilaksanakan dengan sempurna, akan meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak mereka dan juga penglibatan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah.

Dalam merangka program bagi melaksanakan elemen-elemen yang menyokong pembelajaran, sekolah perlu bergabung dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru/Lembaga Pengelola Sekolah, alumni serta ahli komuniti setempat kerana semuanya merupakan rakan kongsi dalam mencemerlangkan murid.
  

*Istilah ibu bapa merujuk kepada sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kebajikan anak dan terlibat secara aktif dengan pendidikannya.

Sarana ini disediakan khas untuk kegunaan pihak sekolah dan dilaksanakan secara kerjasama dengan rakan kongsi sekolah (Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Lembaga Pengurus Sekolah, Persatuan Bekas Murid/Alumni, Ahli Majlis Permuafakatan Sekolah dan ahli komuniti). Tujuan asasnya ialah untuk mempertingkatkan kerjasama antara pihak sekolah dan pihak-pihak lain yang turut mempunyai kepentingan dengan sekolah.

Sarana ini mengandungi soal selidik untuk pihak sekolah serta rakan kongsinya. Dapatan dari analisis soal selidik boleh digunakan untuk mengukur sejauh mana enam elemen yang menyokong pembelajaran dilaksanakan di sekolah. Analisis ini juga memberi ruang untuk pihak sekolah meningkatkan penglibatan ibu bapa dan ahli komuniti dalam menyediakan enam elemen yang menyokong pembelajaran.

 Amalan-amalan terbaik daripada PIBG sekolah dalam dan luar negara disertakan dalam sarana ini untuk memberi gambaran usaha dan penglibatan mereka dalam membantu usaha sekolah mencemerlangkan murid. Mudah-mudahan amalan-amalan tersebut akan dapat menambah cadangan  kepada usaha-usaha yang dapat dilaksanakan sekolah dengan kerjasama PIBG/LPS dan ahli komuniti.

Cadangan-cadangan yang disertakan dalam sarana ini bukanlah merupakan usaha yang baharu maupun  senarai lengkap kerana setiap sekolah mempunyai ibu bapa, komuniti, persekitaran, kemudahan serta pengalaman yang unik dan berbeza-beza. Walaupun demikian, setiap suatu usaha yang diambil oleh PIBG dan komuniti untuk terlibat lebih mendalam dengan sekolah amat wajar dialu-alukan.

Peningkatan dalam penglibatan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah akan memberi peluang kepada ibu bapa dan komuniti memahami pentadbiran, tanggungjawab dan aktiviti sekolah dengan lebih jelas. Apabila mereka memahami keadaan yang berlaku di sekolah, mereka dapat membantu pihak sekolah dan murid dengan lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment